Meraikan sang legenda (FFM22)

Berkaitan:
Zaiton: Bintang Lagenda Hadiah Juri (FFM 2009)
Anugerah Bintang Lagenda 2009 (FFM22)
Detik Manis Bintang Veteran (FFM22)
Seniwati Zaiton bersama Seniwati Latifah Omar dan Momo Latif (2009)

Sumber: Kosmo! Online Hiburan

06 Ogos 2009

ENAM bintang legenda yang sempat meraih pengiktirafan selepas sekian lama menghambakan diri sebagai insan seni, (dari kiri) Tony Castillo, Latifah Omar, Aziz Sattar, Momo Latif dan Zaiton.

“JIKA bukan kita sendiri yang memberi, siapa lagi.”  Sebaris kata-kata itu cukup mengharukan bagi hati yang memahami.

Itu luahan rasa yang terlontar dari lubuk nurani seorang seniwati yang dikenali ramai sebagai Latifah Omar.

Terharu sungguh aktres yang pernah memberikan impak besar terhadap filem seperti Lanchang Kuning, Hang Jebat dan Bawang Putih Bawang Merah itu apabila meraih pengiktirafan buat julung-julung kali sepanjang karier lakonannya.

Paling menjentik emosi, anugerah yang diraih Latifah ini adalah 30 tahun selepas dia bersara daripada dunia lakonan.

Latifah dinobatkan sebagai Bintang Legenda Wanita pada malam Anugerah Bintang Legenda, sempena Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM 22), dua hari sebelum malam kemuncak festival filem pada 8 Ogos.

Majlis yang berlangsung di Hotel Magellan Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu, Sabah ini, biar ada yang mempersoalkan relevannya hanya untuk memenuhi agenda kecil FFM 22, ironinya ia memberi seribu pengertian buat lebih 20 artis veteran yang rata-rata cukup terkenal sekitar tahun 1940-an hingga 60-an.

PAK AZIZ (tengah) sememangnya layak menerima Anugerah Bintang Versatil.

Jika tidak masakan seniwati ternama seperti Latifah Omar sehingga menuturkan: “Saya sangat terharu dengan anugerah yang diberi. Tak sangka bila saya sudah antik, baru diberi pengiktirafan.”

Biar kata-katanya dituturkan dalam tawa, namun bicara Latifah itu sememangnya mencuit emosi.

Tidak rindu untuk kembali berlakon, Latifah yang kini mempunyai empat anak serta sembilan cucu hasil perkahwinannya sejak tahun 70-an melahirkan harapan yang menggunung.

“Biarlah pengiktirafan seperti ini akan terus diberikan pada tahun-tahun mendatang sebagai lambang apresiasi terhadap karyawan filem tempatan,” tuturnya.

Jelas sekali malam Anugerah Bintang Legenda yang berlangsung itu mencapai matlamat dalam mengenang pengorbanan dan kegemilangan penggiat filem Melayu lama era Cathay Keris dan Shaw Brothers sebelum kedua-dua syarikat itu ditutup sekitar 30 tahun lalu.

Ini kerana siapa yang tidak kenal dengan Zaiton Abdullah atau lebih dikenali hanya sebagai Zaiton, pemain karakter Chombi dalam filem Ibu Mertuaku atau watak cilik, Sazali lakonan Tony Castillo dalam Anakku Sazali, atau lakonan Datuk Dr. Aziz Sattar atau Pak Aziz yang karakternya selalu membangkit gelora lucu seperti dalam siri Bujang Lapok.

Lalu pada malam Anugerah Bintang Legenda itu, pemain-pemain karakter tersebut dan rakan seperjuangan seperti Tony Castillo, Latifah Omar, Zaiton, Senator Jins Shamsuddin, Hasyimah Yon, Momo Latif, Kasim Masdor, Wahid Satay, Datuk Maria Menado, Mariani, Datin Rosnani Jamil, Kusdawinata, Seri Dewi, Neng Yatimah, selain Pak Aziz diraikan tanpa batas.

Selain Latifah Omar, karyawan seni bernama Tony Castillo atau lebih dikenali sebagai Sazali diangkat sebagai Bintang Legenda Lelaki.

LATIFAH, Momo dan Zaiton merupakan tiga seniwati yang banyak memberikan impak efektif terhadap dunia filem Melayu lama.

Bintang Legenda Komedi pula diberikan kepada Momo Latif dan Kassim Masdor meraih penghargaan sebagai Bintang Legenda Belakang Tabir.

Tepat sekali apabila Pak Aziz diumumkan sebagai pemenang Anugerah Bintang Versatil, suatu anugerah khusus buatnya, sementara gelaran Bintang Legenda Hadiah Juri menjadi milik Zaiton.

Penganugerahan tersebut yang diiringi trofi dan wang tunai RM5,000 setiap seorang adalah lambang mereka terus dihargai dan jasa yang terus dikenang biar dunia perfileman tempatan sudah bersilih revolusi.

Selaras dengan apresiasi tersebut, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Masidi Manjun berkata, majlis tersebut diadakan sebagai lambang hormat dan kasih sayang kerajaan Negeri Di Bawah Bayu itu kepada artis veteran.

“Kami amat menyayangi dan menghormati barisan anak seni pelopor ini dan kami amat berharap, majlis ini boleh menjadi simbol ikatan rakyat Sabah dengan karyawan filem kita,” kata Masidi saat merasmikan majlis yang dihadiri lebih seribu tetamu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman.

Majlis yang dibuka dengan pelbagai persembahan tarian daripada suku kaum etnik rakyat Sabah, sekitar pukul 8.30 malam, bertukar wajah sekitar pukul 10 malam apabila sedutan filem-filem lama seperti daripada filem Ibu Mertuaku, Pendekar Bujang Lapok, Seri Mersing, Nujum Pak Belalang dan Sumpah Semerah Padi ditayangkan.

Majlis kemudian diambil alih Pak Aziz bagi memulakan majlis bintang legenda selaku wakil pelopor filem Jalan Ampas sekitar pukul 10.30 malam.

Dengan aksi spontannya yang masih pekat mengundang geli hati, Pak Aziz naik ke pentas bagi menghiburkan tetamu dengan ditemani Wahid Satay.

Majlis turut disulam dengan medley lagu-lagu Melayu lama seperti Tunggu Sekejap, Istana Cinta, Bila Larut Malam dan Getaran Jiwa.

*Hakcipta terpelihara

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s