Semangat P Ramlee

02 Jun 2008 : Berita Harian

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

Sumber asal di sini.


Persembahan teater muzikal ‘hidup’, dikagumi rakan seperjuangan Allahyarham Seniman Agung

SEBAIK saja nama Musly Ramlee diumumkan sebagai pelakon utama teater P Ramlee..The Musical musim kedua, seluruh tenaga produksi bagai sudah mengerti, tentunya perubahan juga turut berlaku pada persembahan kali ini.

Ini kerana apabila ‘terajunya’ berubah, maka keseluruhan rentetan muzikal itu dilihat akan tampil berbeza.

Persembahan pembukaan teater muzikal P Ramlee di Istana Budaya pada 28 Mei lalu, mengiyakan segala-gala yang pernah disebut Penerbit Eksekutifnya, Datin Seri Tiara Jacquelina. Ia umpama sebuah pementasan lain, berpaksikan kepada cerita asal yang pernah dipersembahkan pada musim pertama.

Cukup menghiburkan melihat gelagat Musly berdendang, beraksi dan berlawak di pentas berprestij itu sebagai bintang legenda negara yang sudah pun 35 tahun lamanya meninggalkan kita. Malam itu, Tan Sri P Ramlee bagai hidup semula dek keupayaan Musly menjiwai watak artis serba boleh berkenaan.

Disokong muzik yang cukup baik, biarpun hanya dimainkan sebelas orang, rakan lakon yang sama-sama cemerlang menghidupkan cerita, prop menarik lagi meyakinkan yang membawa semula penonton ke dekad 50-an, 60-an dan 70-an, Musly pada detik itu ialah ‘bintang’ yang penuh suka duka, di sisi wanita utama dalam hidupnya, iaitu Azizah (Emelda Rosmila), Junaidah (Atilia), Norizan (Melissa Saila) danSaloma (Liza Hanim).

Biarpun ucapan tahniah tidak putus-putus diterima sebaik saja pementasan menutup tirai kira-kira tiga jam kemudian, artis yang lahir daripada pertandingan Bintang P Ramlee di Sarawak pada 1996 ini enggan mendabik dada, mengatakan kejayaan pementasan itu miliknya semata-mata.

Sebaliknya, Musly berkata, kemampuan muzikal terbabit memukau perhatian ramai disebabkan kerja keras seluruh anggota pasukan penerbitan, termasuk pelakonnya.

Apatah lagi, dia cukup baru dalam bidang lakonan teater (inilah teater pertamanya). Dia hanya mengenali lakonan pentas kira-kira enam minggu sebelum P Ramlee…The Musical musim kedua dipentaskan. Namun, peluang diberikan Tiara amat dihargainya, kerana bagi pemuda ini, langkah pertama kini sudahpun bermula.

“Saya pernah berkata kepada Tiara, hanya orang gila yang akan menerima tawaran menjayakan watak P Ramlee dalam masa sebulan sebelum ia dipentaskan,” katanya yang kini membuktikan, sebagai ‘orang gila’ itu, kehadirannya di pentas meninggalkan kesan mendalam kepada penonton, termasuk rakan seperjuangan Allahyarham yang turut diundang menyaksikan pementasan pembukaan berkenaan.

Biarpun tampak yakin ketika beraksi, dalam dadanya tersimpan debaran kencang. Kata jejaka kelahiran Teluk Intan, Perak ini, sewaktu mula-mula berada di pentas, dia terfikir sendiri, betapa lambatnya masa berjalan daripada satu babak kepada babak seterusnya.

“Tetapi, sebaik saja mendengar tepukan gemuruh penonton, semangat untuk terus memberikan persembahan terbaik semakin mendatang. Sudah tentu saya tidak ingin menggagalkan usaha keras rakan sepasukan yang lain,” katanya yang kini difahamkan sudahpun diambil sebagai artis residenEnfiniti Productions, syarikat yang menerbitkan teater ini.

Bersama Enfiniti, dia bakal muncul dalam sebuah program televisyen yang membicarakan pelbagai topik mengenai P Ramlee. Begitupun, masih terlalu awal untuk dia bercerita lanjut mengenai perkembangan baru itu kerana segala-gala masih dalam peringkat perbincangan.

Mengenai kemungkinan wujudnya persoalan mengenai perbandingan cara persembahannya dengan pelakon asal, Sean Ghazi, Musly percaya, setiap manusia mempunyai kebolehan yang berbeza-beza. Seandainya Sean dikurniakan dengan kebolehan dalam bidang lakonan broadway, dia pula lebih terarah kepada kemampuan meniru bintang pujaan ramai itu secara tradisional.

Kassim Masdor kagumi Musly

KEMUNCULANNYA pada musim kedua, umpama menyuntik emosi yang bukan sedikit pada muzikal terbabit. Bukan sekadar cemerlang dalam menghidupkan kembali watak P Ramlee, dengan lenggok badan, tutur percakapan dan suara hampir serupa, dia juga cukup kelakar, seperti sifat sebenar Allahyarham, yang pernah diceritakan rakannya.

Masakan tidak, teman lama P Ramlee sendiri, komposer Kassim Masdor, cukup menghargai lakonan Musly. Katanya, jejaka itu bukan setakat menyerupai seniman agung terbabit dari segi wajah, malah dia juga mampu menyanyi dengan baik.

“Cara dia membawakan watak P Ramlee cukup menarik. Dia bisa menghadirkan rasa suka dan duka dalam lakonannya,” kata Kassim yang turut menyukai babak membabitkan watak dirinya dalam muzikal berkenaan.

Tokoh muzik veteran yang sudahpun setahun menetap di Kuala Lumpur ini mengaku, menonton teater muzikal itu membawanya mengimbau sejarah silam ketika dia dan P Ramlee masih aktif dalam bidang seni di Singapura.

Katanya, mengikuti babak demi babak yang dipentaskan, membuatkannya termenung, terkenangkan peristiwa lama.

Sempat berkongsi sedikit cerita, Kassim memberitahu, bintang legenda itu meminta dia dan beberapa teman lain seperti Yusuf B dan S Sudarmaji merahsiakan perkahwinannya dengan Norizan, yang berlangsung di kediaman Musalmah di Jembeling Road, Singapura. Begitupun, lama-kelamaan cerita itu ‘pecah’ dengan sendiri.

“Apabila P Ramlee berhijrah ke Kuala Lumpur, dia tidak mempunyai pasukan sokongan yang bagus. Kepak beliau bagai sudah patah. Dengan keadaan demikian, kerjayanya semakin suram. Ketika di Singapura, dia mempunyai ramai rakan yang membantu, termasuk saya sendiri yang kadangkala bersengkang mata untuk menyalin semula skor muzik yang digubahnya,” kata Kassim.

Pelakon S Shamsudin yang mesra dipanggil Pak Sudin, mengagumi pementasan muzikal ini. Katanya, secara keseluruhan, P Ramlee…The Musical sebuah persembahan menghiburkan dan berjaya membawa mereka kembali ke zaman kegemilangan filem Melayu pada era terdahulu.

“Prop dan lakonan semua bintang utamanya cukup bagus. Semua pelakon lama bagai hidup semula di depan mata apabila saya menontonnya,” ujar pelakon yang masih aktif pada usia 80 tahun.

Seniwati Zaiton pula berkata, sudah tentulah cerita yang disampaikan itu tidak lengkap sepenuhnya dek kesuntukan masa dan corak persembahan itu sendiri yang berbentuk muzikal. Namun, sebahagian kisah yang dipaparkan, memang benar-benar terjadi sewaktu hayat P Ramlee masih ada.

“Saya menyukai ceritanya yang cukup hidup dan tidak membosankan. Pada masa yang sama, saya turut berasa sedih apabila teringat kenangan waktu kami masih muda,” tutur pelakon yang pernah beraksi di sisi P Ramlee dalam filem Hang Tuah pada 1956.

Memuji kejayaan Liza Hanim membawakan watak Saloma, seorang daripada rakan baiknya, Zaiton juga berasakan teater yang memberikan penghargaan kepada tokoh seni lama harus diperbanyakkan, bukan saja untuk mengingatkan kembali generasi baru kepada bintang lama, malah ia sendiri menyemarakkan lagi dunia teater Melayu di Malaysia dan Singapura.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s