Anugerah Seniman Di Kuching

05 Mac 2009 : Berita Harian

Oleh Rozdan Mazalan

Sumber asal di sini.

MUSTAPHA (empat dari kanan) menunjukkan Pingat Anugerah Perdana Bintang Seniman Malaysia 2009 kepada IK Pahon (kanan) disaksikan oleh Fadzli (dari kiri), Yusof, Edd dan Ahmad Idham


Acara dwitahunan ini dapat sokongan padu Kerajaan Negeri Sarawak

SEBANYAK 18 anugerah akan diberikan kepada seniman tanah air diatas kecemerlangan sepanjang pembabitan mereka dalam industri seni.

Penganugerahan berbentuk bintang dalam majlis Anugerah Perdana Bintang Seniman Malaysia 2009 (APSM09) oleh Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) akan berlangsung pada 4 hingga 6 April depan bertempat di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak.

Preidennya, Datuk Mustafa Maarof berkata, majlis yang diadakan dua tahun sekali ini adalah kali kelima diadakan selepas ia diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2006.

“Objektif mengadakan majlis ini adalah bertujuan memberi penghargaan kepada seniman tanah air diatas bakti dan jasa mereka serta pernah diiktiraf di dalam negara mahu pun luar negara.

“Antara anugerah yang bakal diberikan seperti Pencapaian Cemerlang Artis Semenanjung sebanyak 11, Pencapaian Cemerlang Anak Tempatan Sarawak (5), Pencapaian Abadi (1) dan anugerah tertinggi Anugerah Khas P Ramlee (1).

“Pemberian anugerah khas P Ramlee ini juga dipersetujui selepas diputuskan oleh jawatankuasa anugerah yang mengambil kira beberapa kriteria, namun kami akan maklumkan nama penerimanya pada majlis itu nanti,” katanya pada sidang media yang diadakan di Finas, Hulu Klang, Selasa lalu.

Turut hadir, Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Negeri Sarawak (KPSU), IK Pahon Joyik, Penolong Setiausaha KPSU, Usop AK Kilat, Pembantu Khas kepada Pengerusi AirAsia Berhad, Edd Razhe dan Pengerusi Jawatankuasa Malam Persembahan Anugerah yang juga Timbalan Presiden Seniman, Ahmad Idham Nazri.

Majlis penganugerahan umpama ini tidak mampu untuk direalisasikan sekiranya tidak mendapat bantuan dan sokongan daripada beberapa pihak yang merasa terpanggil untuk menghargai anak seni.

“Seniman mendapat bantuan dan sokongan daripada beberapa pihak seperti Finas di bawah Kementerian Perpaduan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW), Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Negeri Sarawak (KPSU), Kementerian Penerangan dan syarikat penerbangan tambah murah terkenal negara, AirAsia sebagai penerbangan rasmi.

“Kami juga amat berbangga kerana kerajaan negeri Sarawak terutamanya Ketua Menterinya yang menyambut baik kedatangan lebih 100 anak seni ke negeri itu. Ini juga adalah objektif utama kami untuk mendekatkan anak seni dengan masyarakat.

“Pelbagai rancangan sudah diatur bagi mengadakan beberapa aktiviti bersama masyarakat sepanjang tiga hari delegasi di sana. Antara aktiviti yang akan dilakukan seperti mengadakan sukan rakyat, melawat ke rumah kebajikan dan beberapa lagi,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Idham pula berkata, tidak meriah sekiranya acara pada hari itu tidak diisi dengan aktiviti kesenian, justeru sebagai memenuhi kehendak majlis, beberapa persembahan menarik akan diaturkan untuk anak Sarawak.

“Memandangkan seni ini meliputi pelbagai cabang, kami merancang untuk menggabungkan beberapa elemen ini dalam bentuk satu persembahan.

“Turut yang sudah membuat persetujuan untuk malam persembahan nanti adalah Anita Sarawak dan beberapa nama lagi yang akan memberi keputusan dalam masa terdekat ini.

“Pada majlis itu juga, kami turut mengundang lapan artis veteran dari Singapura seperti Hashim Mahyon, Zaiton, Momo Latiff, Wahid SatayNeng Yatimah, Zaini Sattar dan beberapa lagi,” katanya.

Sebanyak 80 peratus permohonan daripada anak seni untuk mengikuti majlis ini sudah diterima. Justeru Seniman masih membuka undangan kepada mana-mana anak seni yang ingin mengikuti majlis ini agar dapat membuat permohonan dengan segera.

“Kita masih membuka permohonan untuk anak seni daripada pelbagai cabang seni untuk mengikuti majlis ini di Sarawak.

“Hanya tinggal beberapa kekosongan saja lagi dan kita berharap siapa yang berminat untuk segera menghubungi kita di talian 03-41055442 atau datang segera ke pejabat Seniman untuk mengisi borang,” kata Setiausaha Seniman Yusof Kelana.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s