KPKKW Mahu Finas Bukukan Program Imbas Kembali

24 Jun 2008 : Utusan Malaysia – Sumber asal di sini.

Oleh ABD. AZIZ ITAR

IMBAS Kembali merupakan antara aktiviti anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Galeri Perfileman Finas, Kuala Lumpur, yang kini semakin menjadi tumpuan para peminat perfileman tanah air.

S. SHAMSUDIN (berdiri) ketika berkongsi pengalamannya dengan para hadirin sambil diperhatikan (dari kiri) Aziz Sattar, Aimi Jarr, Zaiton dan Kassim Masdor pada majlis Imbas Kembali Aziz Jaafar di Galeri Perfileman Finas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.- Gambar ROY AZIS ABD. AZIZ

Menerusi program itu, Finas telah menjemput beberapa penggiat perfileman tempatan bagi mengimbas semula jasa dan ketokohan anak-anak seni yang telah banyak mencurahkan bakat mereka dalam bidang tersebut.

Malah, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW) yang menaungi agensi itu turut tertarik dengan program seumpama itu yang mampu memberi manfaat kepada banyak pihak.

Sehubungan itu, Ketua Setiausaha KPKKW, Dr. Muzahet Masruri berkata, beliau berharap agar Finas dapat membukukan setiap butiran yang dilontarkan oleh ahli-ahli panel yang terbabit dalam program Imbas Kembali.

“Adalah menjadi harapan kementerian agar siri Imbas Kembali ini dapat dibukukan oleh pihak Finas dan menjadi sumber rujukan khazanah perfileman Malaysia. Ia juga diharap dapat memanfaatkan banyak pihak seperti filem, pelajar perfileman, pihak media dan ramai lagi.

“Dengan pengisahan seperti ini, kita dapat mengenali lebih dekat peribadi serta jasa seseorang tokoh perfileman,” katanya pada majlis Imbas Kembali Bersama Aziz Jaafar di Galeri Perfileman Finas di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada program yang dipengerusikan oleh wartawan veteran Aimi Jarr itu, dua pelakon era kegemilangan Studio Jalan Ampas, Singapura iaitu Aziz Sattar dan Zaiton serta komposer veteran, Kassim Masdor dijemput sebagai panel.

Seniman Aziz Jaafar yang meninggal dunia pada 23 Jun 2005 pada usia 73 tahun amat dihormati sebagai pelakon, penyanyi dan pemuzik ketika hayatnya.

Pelakon veteran, Aziz Sattar yang mula mengenali Allahyarham pada tahun 1947 berkata, beliau bukan sahaja mempunyai nama yang sama dengan seniman itu, malah perangai mereka juga seakan-akan sama.

“Saya dan Allahyarham mempunyai perangai yang hampir sama iaitu kami ini boleh dikatakan jenis yang cenggeng iaitu mudah menangis kalau orang marah. Malah, kalau Allahyarham ketawa kuat atau lama sangat muka dia akan jadi merah.

“Saya mula mengenali Allahyarham ketika kami bertemu di Lorong 40 di Singapura tempat di mana dia suka main wayang di situ. Kebetulan ketika itu, saya suka dengan seorang perempuan joget, jadi selalulah saya ke sana,” ujarnya yang pertama kali berlakon bersama Allahyarham menerusi filem Hantu Jerangkung.

Tambah Aziz, Allahyarham bukan sahaja berbakat dalam bidang lakonan tetapi boleh bermain saksofon. Arwah bapa saudaranya, Yusof B pula banyak membantunya bermain muzik.

Zaiton yang merupakan antara primadona perfileman Melayu cukup rapat dengan Allahyarham dan mula mengenali seniman itu sejak kecil di Singapura.

Pelakon warganegara Singapura itu berkata, meskipun popular dan banyak melakonkan watak hero dalam filem tetapi Allahyarham juga dikenali sebagai seorang yang agak pendiam.

“Kebetulan saya tinggal sekampung dengan Allahyarham, jadi saya juga kenal baik dengan ibu bapa dan kakak beliau iaitu Habibah. Selain tidak banyak bercakap, Allahyarham juga suka duduk menyendiri di mana kalau membaca skrip, beliau suka duduk jauh-jauh,” ceritanya.

Sementara itu, komposer dan pemuzik veteran, Kassim Masdor juga antara insan yang cukup rapat dengan Allahyarham dan menyifatkan seniman itu tidak sombong biarpun tidak banyak bercakap.

Jodoh

Katanya, beliau masih teringat bagaimana pembabitan Allahyarham dalam kumpulan Pancha Sitara telah menemukan jodoh anak kelahiran Singapura pada 10 November 1935 itu dengan isterinya, Normadiah.

“Ketika dalam Panca Sitara yang ditubuhkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham dan Normadiah yang menganggotai kumpulan itu kemudiannya telah saling jatuh cinta.

“Sedangkan P. Ramlee telah menetapkan dan melarang anggota Pancha Sitara supaya tidak bercinta dengan sesama anggota dalam kumpulan itu. Difahamkan tidak lama selepas itu, kedua mereka telah keluar dari Pancha Sitara dan tempat itu digantikan oleh Ahmad Daud dan Saloma,” ujarnya.

Kassim juga mendedahkan, meskipun Allahyarham berbakat dalam bidang nyanyian tetapi peluang itu sedikit kurang kerana tidak mendapat galakkan daripada syarikat-syarikat rakaman ketika itu.

Menurutnya, antara alasan yang diberikan ialah suara Allahyarham dikatakan hampir menyerupai P. Ramlee yang ketika itu sudah terlebih dahulu mencipta nama sebagai penyanyi rakaman piring hitam di Singapura.

Antara filem pertama lakonan Allahyarham berjudul Hantu Jerangkung (1957), Nora Zain – Agen Wanita 001, Raja Bersiong, Puaka, Semusim Di Neraka, Pendekar, Hapuslah Airmatamu, Sumpah Semerah Padi dan yang terakhir Raja Melewar (1998).

Ramai rakan pelakon veteran yang turut hadir pada program itu selain berkongsi pengalaman mereka mengenai pembabitan Allahyarham dalam bidang lakonan, nyanyian dan muzik.

Antara mereka ialah Pengerusi Finas, Tan Sri Jins Shamsudin, Hashimah Yon, Zaini Sattar, S. Shamsudin, Mariani dan ramai lagi.

Hadir sama menyaksikan program itu ialah 150 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Tuah, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansur Shah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Mahkota dari Melaka.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s