Detik Manis Bintang Veteran (FFM22)

Berkaitan:
Anugerah Bintang Lagenda 2009 (FFM22)
Zaiton: Bintang Lagenda Hadiah Juri (FFM 2009)
Meraikan sang legenda (FFM22)
Seniwati Zaiton bersama Seniwati Latifah Omar dan Momo Latif (2009)

10 Ogos 2009

Sumber asal: Berita Harian

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman (enam dari kiri) bersama pemimpin negeri dan bintang legenda yang dirai pada majlis makan malam sempena FFM22.

BARANGKALI dunia seni sudah lama ditinggalkan sebahagian mereka. Sebuah dunia yang akan tinggal menjadi catatan manis untuk dikenang selagi hayat di kandung badan. Legasi yang diteroka sejak 1943 di Jalan Ampas, Singapura itu kini membesar sebagai sebuah industri yang menyaksikan kelahiran barisan pelapis hadir memahatkan nama.

Dulunya mereka hadir cuma berbekalkan bakat dan kecintaan mutlak terhadap seni. Mereka ikhlas memperjuangkan kecintaan terhadap industri perfileman tanpa mengharap sebarang balasan atau penghargaan. Namun, semua itu kini berubah. Jasa serta sumbangan anak seni diterima dan diiktiraf dengan pelbagai pengiktirafan serta penganugerahan.

Tidak mungkin semua kemanisan dan kegemilangan itu dikecapi tanpa mereka yang terlebih dulu bertatih membangunkan industri yang kian mencabar diuji pelbagai dugaan. Mengenang laluan berliku yang ditempuhi pencetus era perfileman tempatan, Kerajaan Negeri Sabah menganjurkan Majlis Makan Malam Negeri sempena Festival Filem Malaysia Ke- 22 (FFM22).

Berlokasikan Dewan Besar Magellan, Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu, barisan artis veteran yang pernah mengharum dalam industri seni diraikan pada acara makan malam yang turut diserikan dengan penyampaian beberapa anugerah, malam Khamis lalu. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Sabah, Datuk Masidi Manjun dalam ucapan pembukaan berkata, acara itu diadakan sebagai penghargaan serta penghormatan kerajaan negeri terhadap bidang seni, khususnya bintang legenda yang menempuh pelbagai dugaan untuk memajukan industri hiburan.

NENG YATIMAH (kiri) berbual dengan Mariani (tengah) dan Raja Hamidah.

Besar harapannya, persahabatan yang dijalin bersama warga seni ketika FFM22 berlangsung akan terus mekar dan akrab sekali gus mendekatkan lagi masyarakat Sabah dengan penggiat industri hiburan. “Sabah mahu dilihat sebagai penyokong utama industri perfileman, justeru kerajaan negeri bersedia membantu dan menyumbang untuk memperkasakan industri filem tempatan.

“Langkah mengenang jasa mereka yang terbabit dalam dunia perfileman menerusi Anugerah Bintang Legenda membuktikan kerajaan Sabah sentiasa mengiktiraf sumbangan seni perfileman dan individu yang terbabit dengannya,” katanya. Acara itu turut diserikan dengan kehadiran Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Panglima Haji Ahmadshah Abdullah dan isteri, Toh Puan Panglima Hajah Dayang Masuyah Awang Japar serta Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Aman.

Musa berkata, kerajaan Sabah sentiasa komited untuk menjadi pemain utama industri perfileman dan penganjuran FFM22 menjadi titik permulaan kepada mereka untuk meneroka industri itu dengan lebih meluas terutama dari aspek ekonomi dan menjana peluang pekerjaan. “Kami akan terus melipatgandakan usaha untuk menarik pemain filem dan pelabur ke sini sekali gus menyemarakkan industri pelancongan serta menjana sosio ekonomi rakyat Sabah. Negeri ini kaya dengan sejarah dan keunikan khazanah semula jadi untuk dimanfaatkan sebagai lokasi penggambaran.

“Saya juga berharap acara ini akan menjadi kenangan manis kepada seniman dan seniwati seterusnya memberikan sumbangan positif kepada industri perfileman negara,” katanya. Berlangsung dalam suasana penuh nostalgia, antara bintang legenda yang diraikan ialah Tan Sri Jin Shamsudin, Datuk Mustapha Maarof, Datuk Maria Menado, Datin Rosnani Jamil, Hashimah Yon, Seri Dewi, Rahmah Rahmah Ali, Teh Fatimah, Wahid Satay dan S Rosli.

Turut diraikan Tony Castillo, Zaiton Abdullah, Raja Hamidah, Norsiah Omar Rojik, Mariani, Momo Latif, Latifah Omar, Neng Yatimah dan Datuk Aziz Sattar.

Mengulas mengenai penganjuran acara itu, Aziz mewakili teman-temannya berterima kasih kepada kerajaan negeri Sabah yang menghargai sumbangan mereka yang meneroka industri perfileman sejak era 1940-an.

“Penghargaan ini tidak akan dilupakan sehingga akhir hayat. Harapan kami insan seni yang menjadi pelapis akan menyusur dan menerima penghargaan seperti yang diterima kami malam ini pada masa akan datang,” katanya. Acara itu turut memberi pengiktirafan kepada enam anak seni yang berbakti kepada pembangunan industri perfileman. Anugerah Bintang Legenda Lelaki diberikan kepada Tony Castillo, manakala Bintang Legenda Wanita pula dianugerahkan kepada Latifah Omar.

Momo Latif diberi penghormatan sebagai Bintang Legenda Komedi, manakala Bintang Legenda Balik Tabir diserahkan kepada Kassim Masdor. Dua nama lain yang turut menerima pengiktirafan ialah Aziz Sattar sebagai Bintang Legenda Versatil dan Zaiton menerima Bintang Legenda Hadiah Juri. Mengulas pemilihannya, Latifah yang mula mencipta nama menerusi filem Dahlia ketika usia 14 tahun pada 1953 mengakui terharu kerana selepas sekian lama, buat pertama kali bakatnya diiktiraf pada acara gemilang seperti itu.

“Saya tidak pernah menerima apa-apa anugerah dalam festival. Pengiktirafan ini membuat saya terharu, maklum sudah jadi ‘antik’ baru saya terima,” katanya berseloroh. Membintangi 36 filem sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada dunia lakonan selepas beraksi dalam filem, Hati Batu pada 1973, Latifah berkata, dia gembira melihat industri hiburan merentasi arus perubahan untuk terus utuh di hati masyarakat.

“Acara penganugerahan seperti harus diteruskan kerana jika bukan kita yang menghargai, siapa lagi?,” katanya mengakui masih mengikuti perkembangan industri hiburan menerusi kaca televsiyen. Pernah membintangi filem seperti Lanchang Kuning, Cucu Datuk Merah, Bawang Putih Bawang Merah dan Putus Sudah Kasih Sayang, Latifah berkata, terdetik perasaan lucu sesekali apabila menonton semula filem lakonannya di layar kaca.

“Saya tidak pernah rasa puas berlakon, malah belum terasa bagus,” katanya yang meninggalkan dunia lakonan selepas studio di Singapura ditutup. Pernah terbit perasaan rindu selepas berhenti berlakon, namun katanya, dia bersara kerana mahu memberi tumpuan kepada anaknya yang ketika itu masih kecil. “Saya sudah beri kata putus untuk tidak berlakon lagi. Ada juga saya menerima undangan tetapi waktu untuk semua itu sudah berlalu. Saya sudah pencen,” katanya.

Ibu kepada empat cahaya mata dan nenek kepada sembilan cucu yang berusia 71 tahun ini, kelihatan agak uzur ketika ditemui namun masih bersemangat meneruskan temubual. Dia yang menetap di Kuala Lumpur tidak dapat berdiri lama kerana menderita sakit kaki sejak lima tahun lalu.

Sementara itu, Zaiton yang menetap di Singapura berterima kasih kepada kerajaan Sabah yang menghargai sumbangannya, malah tidak pernah menyangka dirinya terus diingati untuk dijulang sebagai penerima Bintang Legenda Hadiah Juri.

Katanya, sepanjang bergelar anak seni dia belum pernah menerima pengiktirafan besar. Malah kedatangannya ke Sabah sekadar memenuhi undangan, tanpa mengharap apa-apa penghargaan. “Sudah 30 tahun saya tidak berlakon tetapi tidak sangka orang masih ingat saya,” katanya terharu. Menyambung perbualan, Zaiton mengakui berbesar hati dapat menjejakkan kaki ke Sabah malah peluang bertemu peminat turut membawanya mengimbau kenangan lalu ketika masih aktif sebagai pelakon.

“Saya masih lagi menerima tawaran (berlakon) tetapi semuanya ditolak kerana saya tidak mahu lagi. Tiada apa lagi yang dicari lagipun saya masih bertemu teman rapat seperti Seri Dewi dan Teh Fatimah di Singapura. Jadi perasaan rindu terhadap lakonan semakin hilang,” katanya. Kali terakhir beraksi dalam filem Raja Bersiong, Zaiton berkata, pada permulaan meninggalkan dunia lakonan pelbagai rasa bercampur baur. Sesekali terbit perasaan kesal terpaksa meninggalkan dunia lakonan kerana cintanya terhadap bidang itu begitu mendalam.

Namun seiring pergerakan masa, perasaan itu perlahan-lahan hilang. Akui Zaiton merendah diri, dia tidak pernah melihat dirinya sebagai seorang primadona biarpun namanya sentiasa meniti di bibir peminat filem. “Mungkin orang lihat saya sebagai orang terkenal tetapi saya tidak pernah rasa semua itu. Saya rasa biasa saja. Tidak sangka masih ramai yang memanggil Chombi atau Zaiton 20 sen. Cuma bezanya, sekarang saya sudah bertudung,” katanya yang masih mencuri perhatian peminat dengan paras manisnya.

Biarpun cuma sempat membintangi empat filem, namun keberkesanan lakonannya dalam Anakku Sazali menganugerahkan Tony Castillo sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Festival Filem Asia Pasifik di Tokyo, Jepun pada 1957. Kata Tony, dunia lakonan ditinggalkan apabila dia mengambil keputusan untuk mengembangkan karier muzik yang membawanya berhijrah ke seluruh pelusuk dunia. Bagaimanapun, sejak 30 tahun lalu dia menetap di Amerika Syarikat malah sudah menjadi penduduk tetap negara itu.

“Bagaimanapun, saya mengambil keputusan untuk kembali ke Singapura kerana tidak mahu mati di negara asing. Aneh rasanya apabila dikuburkan di negara luar,” katanya. Tony yang selesa berbahasa Inggeris berkata, industri perfileman tempatan ketika ini semakin hilang kreativitinya apabila cenderung mencedok idea yang pernah dihasilkan produk luar. Katanya, pembikinan filem menuntut kreativiti manakala seni persembahan pula memerlukan bakat yang besar.

“Saya mahu bertanya kepada penggiat seni dan teman artis, apa mereka mahu jadi? Mereka mahu digelar artis atau artficial? Artis ialah seorang yang berpengetahuan dan sentiasa peka. Itu yang akan cuba saya perjuangkan. “Saya mahu bawa semangat baru kepada industri perfileman tempatan. Itu akan saya cuba realisasikan menerusi filem yang menceritakan mengenai sejarah dan siapa orang Melayu. Saya ingin membawa kembali semangat bersatu yang pernah ada dalam diri kita semua,” katanya.

Tony yang berusia 63 tahun dan mempunyai tiga anak, seorang hasil perkahwinannya dengan wanita Amerika Syarikat manakala dua lagi dengan wanita Singapura. Bagaimanapun, isteri pertamanya meninggal dunia manakala perkahwinan dengan isteri kedua pula berakhir dengan perpisahan. “Kini saya bahagia dengan isteri ketiga yang berasal dari Filipina. Dua anak saya masih menetap di Amerika Syarikat,” katanya yang turut menubuhkan akademi pemikiran kreatif di Singapura.

*Hakcipta terpelihara

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s